Infak Bersama BBM

وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

“Dan berikanlah infak di jalan Allah dan janganlah engkau menjatuhkan dirimu ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah karena sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat baik.” - Al-Baqarah: 195

SUMBANGAN IKHLAS

Keutamaan Menuntut Ilmu Sebagai Salah Satu Daripada Pengisian Dalam Kehidupan

Bridget Bakti Malaysia 11 bulan yang lalu

25 November 2016, Gombak – Ahli-ahli BBM terus meletakkan keutamaan menuntut ilmu sebagai salah satu daripada pengisian dalam kehidupan ini. Usrah bulanan BBM yang diadakan di Kem BBM Gombak telah dipimpin oleh Dato’ Dr Abdul Razak Kechik, Presiden BBM dengan huraian dan perbincangan turut diberikan oleh beberapa ahli yang dalam bidang agama.

Slot majlis ilmu ini adalah berkaitan Surah As-Saff, 61:1-4. Semoga ahli-ahli terus komited dalam mendalami ilmu sebagai persiapan berterusan bagi melaksanakan pelbagai amal bakti di lapangan.

Maksud Surah As-Saff, 61:1-4

1. Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
2. Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!
3. Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
4. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.

Terdapat 31 poin dalam catatan majlis ini

1. Tasbih (subhanallah) bermakna mensucikan Allah daripada segala sifat yang tidak layak bagi-Nya.
2. Subhanallah merupakan kalimah bagi membersihkan diri kita daripada sebarang unsur syirik.
3. Syirik berlawanan dengan tasbih.
4. Elakkan daripada menggunakan istilah KEBETULAN kerana sesungguhnya segala yang berlaku adalah dengan TAKDIR Allah.
5. Istilah ‘kebetulan’ hendaklah digantikan dengan kalimah ‘biiznillah’ iaitu dengan izin Allah.
6. Semua yang Allah jadikan, menyembah kepada Allah dengan bertasbih iaitu memuji Allah. Semuanya Islam apa yang ada di langit dan di bumi kecuali roh manusia.
7. Allah memuliakan manusia lebih daripada lain-lain makhluk. Maksud Surah Al-Isra, 17:70. “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”
8. Roh manusia terbahagi kepada 2: (a) Beriman; & (b) Kufur. Sebagai contoh, segala anggota tubuh manusia termasuk orang kafir, adalah Islam kecuali rohnya yang tidak beriman iaitu kafir. Sebab itu, badan orang kafir juga kita kena hormat kerana hanya rohnya sahaja yang kafir.
9. Setiap bayi dilahirkan adalah Islam, tidak kira samada ibu dan/atau bapanya Islam atau tidak.
10. Zikir yang terbaik adalah dalam bentuk zikir memikir dan melaksanakan apa sahaja dengan mengingat kepada Allah. Sekiranya ingatan itu menyebabkan kita tidak berbuat maksiat, maka itulah zikir yang paling agung. Ingat kepada Allah yang boleh membawa perubahan ke arah yang lebih baik dalam kehidupannya.
11. Maksud hadith, “Berfikir sesaat itu adalah lebih baik daripada beribadah setahun.” Namun, ada pendapat yang mengatakan bahawa hadith ini adalah da’if.
12. Jangan banyak cakap tetapi lebihkan buat kebaikan.
13. 4 golongan yang dibenci oleh Allah: (a) Dia tahu iaitu dengan ilmu, tetapi tidak buat iaitu tidak mengamalkannya. (b) Dia suruh orang buat, tetapi dia sendiri tidak buat. (c) Dia berjanji mahu membuatnya tetapi tidak membuatnya. (d) Orang lain yang membuat sesuatu tetapi dia tuntut bahawa dia yang membuatnya.
14. Kita sudah tahu banyak iaitu dengan ilmu, maka Allah akan bertanya kelak samada kita sudah buat atau mengamalkannya.
15. Bertanyalah pada diri sendiri samada segala perlakuan kita itu adakah dibuat kerana Allah?
16. Orang yang melakukan sebarang kemungkaran itu bermakna dia menzalimi dirinya sendiri.
17. Apa sahaja yang kita lakukan bagi meninggikan syiar Islam adalah seperti kita sedang berjuang di dalam peperangan.
18. Di Malaysia ketika ini, peperangan yang wajar berlaku adalah dalam bentuk ekonomi, sosial, rasuah dsbnya. Mestilah dilaksanakan secara serius dan sungguh-sungguh, bukan sambil lewa.
19. Biasanya manusia ini apabila hal yang berkaitan dengan periuk nasinya, dia akan serius. Namun dalam hal kerja-kerja Islam termasuk dalam ibadah khusus seperti solat, ramai yang membuatnya dengan sambil lewa dan tidak serius.
20. Allah mencintai orang yang melaksanakan kerja-kerja kebaikan dengan sebaik-baiknya iaitu membuat sesuatu kerja dalam organisasi yang diuruskannya dengan baik. Perancangan yang baik dalam aspek sumber manusia, kewangan, pelaksanaan program, jaringan dsbnya.
21. BBM mestilah boleh terus berbakti melaksanakan pelbagai kebaikan walau apapun yang terjadi.
22. Wajib ada 2 sifat bagi setiap pekerja: (a) Ada kekuatan iaitu ilmu dan kemahiran membuat kerja; & (b) Amanah. Kemudian, mestilah ada pemantauan yang baik dari peringkat teratas hingga ke peringkat bawah sekali. Peranan ketua membimbing dan memantau adalah mustahak. “Setiap kamu adalah ketua dan kamu akan dipersoalkan di atas apa yang telah kamu dipertanggungjawabkan.” – sistem audit.
23. Bangunan yang tersusun kukuh yang dikiaskan dalam sesuatu organisasi: (a) Pelan & struktur – perancangan dan kepimpinan; (b) Bahannya berkualiti – mesti adanya visi, misi dan objektif; (c) Perbelanjaan – aspek kewangan mesti mantap; & (d) Teknik dan cara pembinaan – budaya dan cara kerja.
24. Allah mengajar kita bagi memperlengkapkan diri dalam semua aspek hidup samada untuk individu mahupun dalam organisasi (keluarga, masyarakat dan kerjaya).
25. “Berjamaah itu membawa rahmat dari Allah. Sekiranya kamu berpecah, akan menyebabkan kamu mendapat azab.”
26. Antara objektif BBM ialah menyelamatkan belia negara daripada pelbagai jenis kebejatan. Mesti punyai dan tingkatkan jatidiri (self-esteem) remaja dan belia. Mesti ada matlamat hidup dan mampu berdaya saing.
27. Buat sebarang kerja dalam organisasi ini mestilah kerana Allah, demi mendapatkan keredhaan Allah dan akhirnya kita sendiri yang beruntung. Maksud Surah Al-Isra, 17:7, “Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. …”
28. Janganlah kamu meninggalkan zuriat keturunan dan generasi yang lemah! Elakkan sebarang hal-hal negatif yang boleh mempengaruhi anak-anak kita.
29. Buatlah segala kebaikan dengan ikhlas dan secara bersungguh-sungguh sehabis mungkin. Kemudian, bertawakkal iaitu hasilnya kita serahkan kepada Allah. Kemungkinan sesuatu hasil yang baik itu tidak dikecapi di zaman kita. Pelajari daripada kisah perjuangan sahabat Rasulullah SAW, Abu Ayyub Al-Ansari. Juga, perjuangan Said Badiuzzaman An-Nursi di Turki.
30. Juga, pelajarilah dan ambil pengajaran daripada kisah pemuda Al-Kahfi.
31. Usaha mendapatkan redha Allah dalam segala kerja yang dilaksanakan merupakan prioriti dalam kehidupan ini.

SHARE ()

Rakan Kerjasama