Infak Bersama BBM

وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

“Dan berikanlah infak di jalan Allah dan janganlah engkau menjatuhkan dirimu ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah karena sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat baik.” - Al-Baqarah: 195

SUMBANGAN IKHLAS

BBM Aktif Anjur Program Di Cebu

Bridget Bakti Malaysia 2 tahun yang lalu

Sumber : Utusan Malaysia 18 Jun 2016

Program Development of Ummah (Briged Bakti Malaysia, BBM) 5.0, berjaya menyantuni anak-anak miskin yang masih trauma dengan bencana taufan Haiyan di Cebu, Filipina. Taufan yang berlaku dua tahun lalu itu telah memusnahkan rumah dan menjadikan penduduk miskin.

Menurut kenyataan BBM, sebanyak lima sukarelawan menjayakan program kali ini.

Mereka turut mengadakan lawatan ke sekolah rendah Punta dan Hagnaya di San Remingo.

Bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pulau Pinang, Prof. Noor Hamat yang mengetuai program itu berkata, mereka dibantu penduduk tempatan, Abu Bakar dan Ayman bagi menguruskan segala persiapan dan aktiviti sepanjang seminggu di sana.

Beliau yang telah bersara berkata, kedua-duanya turut memastikan lawatan dan aktiviti di sekolah berkenaan lancar.

“Kami mengadakan ceramah motivasi khusus untuk murid yang masih trauma dengan malapetaka ngeri itu,” katanya kepada S2.

Selain itu, pihaknya turut menyediakan jamuan makan untuk warga sekolah dengan menyembelih seekor kerbau bagi dijadikan lauk.

Tinjauan sukarelawan mendapati kanak-kanak masih belum dapat melupakan pengalaman menakutkan itu.

“Kami juga melawat kawasan perumahan Yolanda Village. Di kampung itu, terdapat sejumlah kanak-kanak yang menjadi mangsa taufan Haiyan yang ikut berpindah bersama keluarga masing-masing. Kami lihat kanak-kanak di situ hidup dalam serba kekurangan.

“Ibu bapa mereka diberi rumah yang kecil, hasil bantuan daripada kerajaan Austria. Kerajaan negara itu membina sebanyak 155 buah rumah yang mula dihuni pada tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya berpeluang beramah mesra dengan penduduk kampung.

“Kami dapati mereka amat berharap ada pihak menghulurkan sumbangan bagi meringankan kehidupan mereka yang miskin.

“Kemiskinan menyebabkan mereka tidak mampu menyediakan kemudahan asas untuk pembangunan anak-anak,” kata Prof. Noor.

Dalam pada itu, ceramah mengenai kebersihan diri, mengembalikan keyakinan diri dan cara menangani emosi akibat trauma turut diadakan.

“Malah, kami juga memberi semangat kepada mereka untuk meneruskan kehidupan dan pelajaran walaupun hidup dalam kemiskinan,” tambahnya.

Tinjauan juga mendapati penduduk mengalami masalah kekurangan bekalan air bersih.

Program Development of Ummah 5.0, kini merancang untuk terus membantu masyarakat Cebu khususnya penduduk Hagnaya.

Ini kerana kebanyakan penduduk hanya bekerja sebagai nelayan dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Kesan daripada kemiskinan ini menyebabkan ramai kanak-kanak tercicir daripada persekolahan.

“Bagi merealisasikan hasrat itu, kami bercadang mengumpul dana bagi membina kilang roti.

“Selain itu, penduduk juga akan diajar mengenai cara-cara membuat keropok ikan untuk dipasarkan.

“Malah, kami juga menggalakkan penduduk berniaga kecil-kecilan memandangkan bekalan ikan mudah didapati,” katanya.

Apa yang diharapkan adalah program ini akan terus bergerak aktif demi membantu masyarakat Cebu yang semakin ramai memeluk Islam.

“Kami sentiasa memberi motivasi kepada penduduk setempat agar meneruskan kehidupan dengan positif terutama kanak -kanak dan remaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, program seperti ini wajar diteruskan kerana membantu mengeratkan silaturahim di antara dua negara.

SHARE ()

Rakan Kerjasama